Pulau Pinang, 16 Dis. – Universiti Sains Malaysia
(USM) mencatat sejarah apabila buat pertama kali dipilih oleh syarikat kimia
berprestij negara, Kumpulan Chemical Company of Malaysia (CCM) sebagai
universiti pertama Malaysia menerajui bidang keusahawanan dalam bidang
farmaseutikal.
Program yang dinamakan Jalinan
Universiti dan Industri (JATI) di bawah Chemical Company of Malaysia (CCM)
telah memilih USM sebagai peneraju dan kolaborasi bersama bagi mensasarkan 500
usahawan muda dari bidang Farmaseutikal sehingga tahun 2020.
Menurut Prof. Dato’ Omar
Osman, Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia (USM), program kerjasama di
antara CCM dan Pusat Pengajian Sains Farmasi USM diharap dapat membuka dimensi
baru buat pelajar yang bergraduan dalam bidang tersebut, bukan sahaja menjadi
seorang ahli Farmasi berjaya,malah dibentuk menjadi ahli perniagaan dan
usahawan masa hadapan.
“Sekiranya program JATI
CCM-USM diambil penelitian secara terancang, saya percaya ia mampu melatih
pelajar agar tidak terikat kepada sudut pandangan konservatif dan memupuk
graduan agar berkeupayaan menjadi berbeza dengan yang lain melalui penyebaran
ilmu untuk faedah masyarakat keseluruhannya,” katanya ketika merasmikan program
Jalinan antara Universiti dan Industri (JATI) CCM-USM di Kompleks Cahaya, USM.
Tambahnya lagi, Pusat Pengajian Sains Farmasi bukan
sahaja perintis di dalam bidang penghasilan ubat-ubatan, malah telah melahirkan
ramai graduan yang berdikari dan bekerja sendiri melalui bidang perniagaan.
“Graduan Farmasi USM
senantiasa diperlengkapkan sebaik mungkin bukan sahaja ilmu tetapi juga
pengalaman, cantuman ini saling melengkapi dan pastinya akan menguntungkan
negara kelak”
Selain itu, Dekan Pusat
Pengajian Sains Farmasi, Prof. Syed Azhar Syed Sulaiman berkata, Pusat
Pengajian Sains Farmasi telah menghasilkan sumber rujukan pertama di dunia
untuk penghasilan perubatan menggunakan sumber bahan yang halal, iaitu
Pharmacopia.
“Pihak PPSF melalui kerjasama dan buah idea para
pensyarah dan penyelidik telah berjaya menghasilkan Pharmacopia, sumber rujukan
pertama dunia untuk ahli farmasi merujuk dan menganalisis bagi mencipta
ubat-ubatan menggunakan bahan yang sah dari segi kehalalannya,” katanya selepas
majlis perasmian.
Katanya, sekiranya tiada
apa-apa halangan, Pharmacopia bakal dilancarkan pada tahun hadapan dan USM
merupakan perintis pertama dunia yang menghasilkan sumber rujukan tersebut.
Turut hadir pada majlis
tersebut adalah Amirul Feisal Wan Zahir, Pengarah Urusan Kumpulan Chemical
Company of Malaysia (CCM) dan Prof. Sudesh Kumar, Pengarah Jaringan Industri dan
Masyarakat USM.
0 Comments