bahana fitnah





Sekarang ni walaupon aku dah habis exam, tapi aq still ada kat usm. Memang aku tak tau nak buat apa sekarang. Setelah habiskan 1 large pizza yang aku beli kat domino,(tetiba faisal datang bilik aku nak bagi external aku. So, aku ajak la dia makan sekali..) lantas aku pon mengisi masa lapang aku pada waktu tu dengan membelek-belek laptop kesayangan aku.

Belek punya belek, tetiba terjumpa plak 1 cerita yang aku penah tulih dah lama dah. Bila aku baca balik, rasa macam cerita bodo je… walaupon aku ada la jugak skit2 minat nk tulih cerpen, tapi ayat aku tak cukup “sastera” la.

So, kalo korang rasa boring dah sangat sebab tak tau nak buat apa macam aku ni, boleh la korang baca. Tapi bagi yang sibuk, tak payah la. Buat buang masa ja. Bagi yang nak amik exam or still dalam minggu pembelajaran, baik korang pi study.! Hahaa… peace…..



Fitnah


  
Jumaat, 6 Febuari 2009
Selepas subuh.

Sesaat waktu merangkak perlahan, detik demi detik. Setiap piko saat yang berlalu bagai giga jam yang ditempuh. Kulihat jam tanganku yang berjenama ‘alba’ tersebut. Bagaikan dari tadi tidak bergerak-gerak jarumnya. Masih hampir sama. Namun, kugagahkan jua kotak fikiranku untuk terus menelan ilmu sejak tadi.

Satu persatu informasi yang menujah dihadapan anak mata, lalu dibawa oleh saraf optik untuk diinterpretasi oleh sang otak, sebuah ciptaan Allah amat bermakna buat makhluk yang bernama manusia. Walaupun kadang-kala datang hasutan yang tidak henti-henti, yang membuak-buak dalam dada. Mahu mengheret diri ini untuk melepaskan segalanya. “Biarkan masa berlalu, biarkan ianya begitu, tak usah digagahkan lagi. Ayuh ! lepaskan badanmu di atas tilam yang empuk. Mengapa harus disusahkan badan dan mengapa mesti dipenatkan fikiran sedangkan keenakan mimpi nan indah menanti?
Saat itu anak mata melirik pantas ke arah ranjang. Tilam empuk bersarung cadar biru seolah-olah memujuk, merayu dan mengharap untuk dibelai. Nafsu sudah membuak-buak. Hati sudah mula goyah. Bagai perjalanan terhenti di dua persimpangan. Sama ada memilih keenakan di hadapan mata atau mengejar impian yang belum lagi pasti.
Lalu, terlepaslah sebatang pen dari genggaman.  Saat itu juga sang nafsu mula berbunga riang. Setidak-tidaknya, ia telah berjaya menggugat keteguhan dan kesungguhan seorang pengumpul yang sedang mengumpulkan barang yang telah hilang darinya, seperti sabda junjungan :
“Ilmu itu merupakan harta kaum beriman yang telah hilang. Maka pungutlah ia di mana sahaja ia ditemui.”
Tika ini, setiap sendi dan anggota badan hanya menunggu arahan sahaja dari sang otak. Sekali lagi akal fikiran yang menjadi sandaran yang pada ketika itu sedang ligat mencari kata putus. Akhirnya, the road not taken menjadi pedoman.
“Ah, persetankan dengan semua itu! Sudah lupakah kamu akan tujuanmu di sini? Atau sudah alpakah kamu akan amanat yang sedang kamu tanggung sekarang ini?” tersentak sang akal apabila ditegur oleh secuit iman yang masih berbaki dalam diri. Walau  sedikit cuma kehadirannya, namun sudah cukup untuk menjadi kompas bagi sang musafir yang sedang berada dalam perjalanan hidup. Bagai bintang yang tersusun kemas di angkasa raya yang menjadi pedoman buat pelayar di lautan tak bertepi.
Saat akal mula sedar, lantas hati mula bersemangat. Mata kembali segar dan pena kembali melekat kukuh di antara barisan jari. Sehelai demi sehelai nota diselak, sebaris demi sebaris ayat ditatap, dan sedikit demi sedikit ilmu yang menyinggah di dalam dada. Lantas menangislah sang nafsu kekalahan.
Saat ini, aku teringat akan sepotong ayat yang baru sebentar tadi aku mendengarnya ketika mengerjakan solat subuh berjemaah. Maklumlah, pagi ini pagi Jumaat. Selalunya, pada rakaat pertama imam akan membacakan surah As-Sajdah mengikut sunnah Rasulullah S.A.W. Pada ayat yang keempat dalam surah tersebut, Allah telah berfirman yang membawa maksud:
“Allah yang menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas A’rsy. Bagimu tidak ada seorang pun penolong mahupun pemberi syafaat selain Dia. Maka apakah kamu tidak memerhatikan?”
Entah untuk beberapa jam seterusnya, aku tersentak dek getaran dari telefon bimbitku di atas meja. Seolah-olah bernari-nari sambil menantiku menyemak peti masuk. “Ah, ada sahaja yang mengganggu.” Hatiku bergumam.
Baru aku teringat yang aku masih lagi belum menukarkan telafon bimbitku ke mod biasa dari mod senyap. Maklumlah, hari ini adalah hari jumaat, hari pertama cuti bagi negeri Kedah dan negeri-negeri yang sewaktu dengannya. Jika di hari-hari biasa pada waktu kelas, aku perlu menggunakan mod senyap supaya tidak mengganggu proses pembelajaran.
Sekali lagi aku memandang ke arah jam tanganku. Jarum jamku pada waktu itu baru menunjukkan pukul 9:32 pagi. Siapa pula yang menghantar mesej pagi-pagi sebegini?
Tanpa berfikir panjang, lantas aku terus mencapai telefon berjenama sony ericsson model w 610i tersebut. Aku sedikit terkasima apabila anak mataku memandang tepat kearah nama si penghantar SMS tersebut. Belum sempat aku menekan punat read, akal fikiranku sudah ligat mengingati tragedi yang berlaku kepadaku dalam dua hari yang lepas. Dan semestinya aku percaya bahawa mesej yang bakal aku baca ini ada kaitannya dengan peristiwa tersebut. Kulihat di skrin tertera ‘mesej from cikgu Aisyah.’ Dengan sendirinya bibirku mula mengukir senyuman.



Rabu, 4 Febuari 2009.
1.05 tengah hari.

“Is, hang ada dengar cerita tak?” Sapa satu gelombang bunyi yang sudah tidak asing lagi bagi gegendang telinga aku untuk menyerapnya. Saat sang ‘koklea’ menukarkan gelombang tersebut kepada isyarat yang seterusnya dihantar oleh saraf auditori ke otak untuk ditafsirkan sebagai bunyi, lantas anggota badanku memberi tindak balas dengan memalingkan kepalaku ke arah sumber datangnya gelombang longitudinal tersebut atau dengan erti kata lain, supaya mataku dapat menangkap bayangan yang terhasil oleh tuan empunya suara sebentar tadi. “Saif rupanya!” getus hatiku setelah dapat aku ketahui sumber gelombang bunyi yang baru sahaja menyinggah di telingaku tadi.
“Cerita apa?”
“Cerita pasai hang dengan Aisyah!”
“Kenapa pula aku dengan dia?” Tersentak aku apabila aku mendengar khabar yang sedemikian rupa. Seleraku yang membuak-buak sebentar tadi hilang terus entah ke mana. Nasi yang berkuahkan kari ayam dan berlaukkan tempe kegemaranku sudah tidak aku hiraukan. Malah, suasana yang hiruk-pikuk dan hangar-bingar di kawasan cafeteria ‘A’ ini sudah tenggelam sejak aku mendengar perkhabaran tersebut.
Saat ini, kelima-lima deriaku sudah tertumpu kepada Saif. Anak mataku tertumpu rapat kearah Saif. Telingaku pula seakan-akan bersedia untuk menyerap gelombang bunyi yang akan terhasil akibat getaran yang terjadi di celah-celah kerongkong Saif manakala ketiga-tiga deriaku yang lain mengurangkan kepekaannya bagi membolehkan otakku lebih tertumpu kepada apa yang sedang dan bakal aku hadapi selepas ini. Mungkin sebab itulah aku sudah tidak berselera lagi walaupun santapanku pada hari ini adalah makanan kegemaranku.
Hang tak tahu lagi?” Soal Saif dengan beria-ia. Aku lihat riak wajahnya seronok benar kerana aku belum mengetahui perkhabaran yang ingin disampaikannya sebentar lagi. Mungkin setelah melihat riak wajahku yang agak terkejut dengan apa yang telah dikatakannya sebentar tadi, dia bersuara kembali.
“Jadi, betullah hang tak tahu.” Soalnya lagi.
“Ya lah. Aku tak tahu. Kenapa pula Aisyah dengan aku?” Sekali lagi aku menanya Saif walaupun sebentar tadi telah aku tanyakan soalan yang sama. Oleh kerana dia tidak menjawabnya, terpaksalah aku menanyakannya sekali lagi. Aku betul-betul terdesak untuk mengetahuinya!
“Betulkah hang couple dengan dia?”
“Siapa? Aisyah?”
“ Ya la. Dengan siapa lagi?”
“Mana ada. Dari mana hang dengar semua ni?” Soalku.
“Semalam, aku dapat mesej daripada Aisyah. Dia tanya aku, betulkah semua budak kelas kita semester lepas tahu yang hang dengan dia bercouple?”
“Habis tu, apa yang hang jawab?” Soalku lagi.
“Aku jawablah yang aku ni tak tahu menahu langsung dalam hal ni. Sebab itu lah aku nak tanya hang hari ni.” Jawab Saif jujur. “Jadi, betullah?” Soalnya lagi.
“Mana ada!” tegasku dengan setegas yang boleh. “Dia ada bagi tahu tak dari mana dia tahu perkara ini?” Soalku untuk mendapat kepastian. ‘Kalau tiada angin, masakan pokok boleh begoyang.’ Aku sedar yang sekarang ini pokok sudah bergoyang. Tiada apa yang boleh aku lakukan lagi. Namun, ini tidak bermakna aku tidak boleh mengetahui siapa yang menjadi angin. Angin! Tidak kira siapa pun engkau, akan tetapku kerjakan!
“Dia kata Haida yang beritahu dia.”
“Haida budak kelas kita semester lepas?”
“Haida yang itu lah. Kalau tidak yang mana lagi?”
Akhirnya, dapat juga aku tahu siapa yang punya angkara. Sekurang-kurangnya, tahu lah aku selepas ini apa yang hendak aku buat kepada Haida.
“Rancak bersembang nampak. Hangpa cakap pasai apa?” Soal Syam, lantas melabuhkan punggungnya yang agak gempal di atas kerusi yang bersebelahan dengan Saif, yang berhadapan denganku. Sememangnya badan Syam agak besar jika hendak dibandingkan dengan aku dan Saif.
“Nasib baik hang ada. Hang ada dengar cerita tak pasai aku dengan Aisyah?” soalku cuba menduga sama ada Syam tahu atau tidak mengenai hal yang sedang aku dan Saif bincangkan sekarang ini.
“Oh, pasai tu kah yang hangpa semua dok rancak bersembang tadi?” Soal Syam dengan tersenyum. Dan aku pasti, dari riak muka Syam tadi, sudah tentu dia telah tahu akan hal ini. Walaupun dari segi teknikalnya dia belum lagi menjawab soalanku, tetapi aku sudah tahu jawapannya. “Hang nak tahu tak siapa yang mula buat cerita ini?” Soal Syam lagi. Melalui soalanya tadi, nampaknya dia bukan sahaja tahu mengenai cerita ini malah turut mengetahui dari mana sumber cerita ini bermula. Aku tidak terkejut walau sedikitpun akan soalannya. Syam memang terkenal dengan keramahannya terhadap orang lain. Sudah tentu dia telah tahu hal ini dan aku pasti, mungkin dia antara orang yang terawal mengetahui perkara ini. Jadi, tidak hairanlah jika dia mengetahui cerita ini lebih awal dariku walaupun aku yang menjadi ‘watak utama’ dalam cerita ini.
“Kami dah tahu lah. Cerita ini dari Haida.” Jawab Saif dengan selamba sambil menghabiskan makanannya.
“Bukan dia seorang saja. Ila pun terlibat sama.” Sampuk Syam sambil mengambil seketul tempe dari pingganku dengan selambanya, lantas menjamahnya dengan penuh berselera. Itulah hobinya apabila melihat aku memakan tempe. Namun, aku tidak kisah akan perbuatannya. Sudah banyak kali dia melakukan perkara demikian.
Kini, sekurang-kurangnya aku telah dapat mengenal pasti dalang dalam konspirasi ini. “Jadi, Haida dan Ila ya…..” Monolog hatiku bersendirian. “Siaplah korang berdua. Tahulah apa yang akan aku buat!” Kataku dalam hati sambil otakku ligat memikirkan apa yang akan aku lakukan kepada mereka berdua. Yang pasti, mereka berdua tidak akan menyukainya.




Jumaat, 6 Febuari 2009
8.20 malam.
               
              “Sodaqallahul a’zim….” Tersembul kalimah tersebut saat aku menghabiskan bacaan kitab suci Al-Quran yang aku membacanya setelah selesai aku mengerjakan solat fardhu maghrib di Masjid Khulafa` Arrasyideen, sebuah masjid dalam kolej matrikulasi yang sedang aku menuntut kini. Memang sudah menjadi ‘hobi’ yang bukan sahaja bagiku, malah turut bagi teman sebilikku yang lain untuk membaca kitab suci yang diberi gelaran Al-Furqan, yang membawa maksud ‘pembeza antara haq dan batil.’ Sebenarnya, sejak aku ditempatkan dalam kamarku ini, aku sangat-sangat bersyukur kepada Yang Maha Khaliq kerana mempertemukan aku dengan teman-teman sebilikku. Manakan tidaknya, kesemua mereka baik-baik belaka. Namun, sesuatu yang menghairankan aku ialah kami seolah-olah ditakdirkan untuk menginap dalam bilik yang sama. Hal ini disebabkan oleh latar belakang masing-masing. Contohnya, Wan merupakan bekas pelajar dari Sekolah Maktab Mahmud, sebuah sekolah beraliran agama yang sangat terkenal di negeri Kedah manakala Man yang berasal dari negeri Kelantan terkenal dengan istiqamahnya dalam beribadat. Hanif pula merupakan salah seorang bilal bagi masjid dalam kolej ini manakala aku sendiri pula bekas pelajar di salah sebuah sekolah agama di Pulau Pinang.
                Setelah selesai aku menghabiskan bacaanku, aku kembali ke muka surat pertama yang aku baca tadi. Selain membaca Al-Quran, aku juga suka untuk membaca terjemahannya. Sejak aku membeli ‘Al-Quran dan terjemahan’ di hadapan perpustakaan ketika terdapatnya jualan, aku sering ‘bertadabbur’ dengannya. Walaupun dalam sehari aku cuma membaca satu atau dua helai, aku merasa puas kerana sekurang-kurangnya aku dapat memahami apa yang telah aku baca walaupun tidak semuanya aku faham.
                Sedang aku asyik membaca, tiba-tiba aku terhenti pada sepotong ayat. Saat aku membaca ayat tersebut, aku terus teringatkan apa yang sedang menimpaku kini iaitu tragedi fitnah keatas diriku. Ayat tersebut bermaksud:
                 “Sesungguhnya orang-orang yang mendatangkan cobaan kepada orang-orang mukmin lelaki dan perempuan lalu mereka tidak bertaubat, maka mereka akan mendapat azab jahannam dan mereka akan mendapat azab (neraka) yang membakar.”               
 (Al-Buruj, 85:10)
                Lantas, aku teringatkan mesej yang aku terima pagi tadi dari Aisyah. Rupa-rupanya aku belum membalas mesej tersebut! Terus aku ambil telafonku di dalam laci dan membuka ‘peti masuk.’ Setelah itu tertera di skrin nama ‘cikgu Aisyah’ dalam senarai yang paling atas. Aku tersenyum sendiri melihat nama itu kerana terdapat perkataan ‘cikgu’ di awal namanya.
                Sebenarnya sengaja aku menulis sedemikian rupa supaya aku dapat tahu Aiyah yang mana satu. Maklumlah, dalam kelas baru aku untuk semester ini juga terdapat seseorang yang bernama Aiyah. Lagipun, Aiyah telah pun keluar dari kolej matrikulasi bagi menyambung pelajarannya di sebuah maktab perguruan di Melaka. Sebab itu lah aku menggelarkannya ‘cikgu.’
                Peliknya, walaupun aku dahulu satu kelas dengannya, tetapi aku mula mengenalinya hanya sejak dia berpindah ke maktab perguruan. Aku masih ingat lagi saat pertama kali aku bersembang dengannya iaitu pada pertengahan tahun lepas. Walaupun secara teknikalnya, kami bukanlah bersembang tetapi hanya menghantar mesej sahaja.

                [salam. Dah dpt ke blom mksd ayt ari 2? –islah]
                Itu lah yang aku taipkan saat pertama kali aku menghantar mesej kepadanya. Ayat yang aku maksudkan ialah sepotong hadis dari Rasulullah yang berkaitan dengan ilmu. Dia kan nak jadi seorang guru!
Pada hari terakhir dia di kolej, dia telah meminta kami semua menurunkan tanda tangan di belakang gambar kelas. Aku juga tidak melepaskan peluang untuk menurunkan tanda tangan pada hari itu. Sudah hajat orang, aku pun buat sahajalah! Tetapi di sebelah tanda tanganku, aku sempat menulis sepotong hadis tersebut.
                [ha ah, blom. Pe mksd dya?] Selang beberapa minit kemudian, aku mendapat balasan.
                [mksd dya, “jadilah orang yang berilmu, atau orang yang menyampaikan ilmu atau orang yang mendengar ilmu atau orang yang mencintai ilmu. Dan janganlah kamu menjadi orang yang ke-5 kerana celakalah kamu!]
                [owh……….]
                Bermula dari saat itu, kadang kala sering juga aku menghantar mesej kepadanya. Tiada apa-apa pun, hanya bertanyakan khabar dan memberitahu peristiwa terkini yang berlaku di kolej. Tidak lebih dari itu!
               
Cepat-cepat aku sedarkan diri aku yang tadi entah hanyut teringatkan cerita lama. Lantas aku menyambung hajatku yang terhenti tadi. Aku menyemak sekali lagi ‘peti masuk’ dalam telefon yang masih berada dalam genggamanku itu. Setelah aku menekan punat yang berwarna oren yang bercahaya itu, terpampanglah sebaris ayat yang tertulis:
                [Is, 9ti klau dpt pa2 msj y bkn2 dr Ila atw Haida, wt x tw je… ]
                Belum sempat aku menekat punat ‘reply,’ gegendang telingaku terus menangkap laungan seruan azan yang berkumandang dari masjid. Aku terus membatalkan niatku untuk membalas mesej tersebut. Namun, aku berazam untuk membalasnya setelah selesai aku mengerjakan solat fardhu i’syak sebentar lagi.



Ahad, 8 Febuari 2009
7.51 pagi.

                Saat kedinginan hawa yang bertiup masih langi menyucuk-nyucuk hingga ke pangkal tulangku, tika itu juga aku teruskan niat dan usahaku untuk menimba dan memiliki sedikit ilmu dari ilmu-ilmu yang hanya Penciptanya sahaja asal Tuan empunya. Walaupun aku mengenakan kemeja biru tua berlengan panjang siap bertali leher biru muda hingga seakan-akan sedang mencekik urat leherku, tetap dapat aku menyentuh kedinginan bayu pagi yang berlegar di sekitar kolej ini. Walaupun suhunya tidak sesejuk seperti di negara barat tika mana datangnya musim salji, namun percayalah bahawa beberapa orang penuntut dalam kolej ini telahpun tewas kekalahan dan sedang bersemadi dengan aman di atas katil mereka masing-masing.
                Hari ini langkah kakiku untuk ke dewan kuliah berlainan azamnya daripada biasa. Selain untuk mendengar kuliah, aku turut mempunyai agenda lain yang telah aku susun dan rancang dengan teliti semenjak dua hari yang lepas. Agenda yang aku maksudkan ialah rancanganku untuk membuat ‘serangan balas’ terhadap ‘serangan hendap’ yang telah aku terima minggu lepas. Semangatku semakin membuak-buak sejak pagi tadi apabila aku terbaca ayat ini selepas subuh tadi.
                “Bulan haram dengan bulan haram dan (terhadap) sesuatu yang dihormati berlaku (hukum) qisas. Oleh sebab itu barang siapa yang menyerang kamu, maka seranglah dia setimpal dengan serangannya terhadap kamu. Bertaqwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.” (Al-Baqarah, 2:194)
                Rancanganku adalah seperti mana yang dilancarkan oleh Sir Gerald Templer, pesuruh jaya tinggi british di tanah melayu pada tahun 1952 iaitu ‘perang saraf’.
                ‘Saif, boleh tolong tak?” Soalku kepada Saif setibanya aku di Dewan Kuliah Kecil 1 apabila aku melihat kelibat Saif telah pun ada dalam dewan. Lantas aku melabuhkan punggungku di atas kerusi bersebelahan dengannya.
                “Apa dia? Soalnya kembali.
                “Begini. Kalau nanti hang bersembang atau mesej dengan Haida atau Ila, boleh tak tolong cakap kat depa yang aku ni tengah marah gila pasai kes hari tu.” Kataku.
                “Oh, boleh sangatlah tu. Tapi hang marah sungguh ka?
                “ Pasai tu hang tak perlu tahu. Aku minta kalau boleh hang buat saja apa yang aku suruh. Tapi ingat! Jangan sampai mereka tahu yang aku suruh hang buat macam tu.”
                “Kenapa pula? Soal Saif dengan sedikit kehairanan.
                “Hang buat saja. Biar nampak macam memang niat hang nak bagi tahu depa dan bukan kerana aku yang suruh. Hang cakaplah kat depa yang bila hang cakap saja pasai kes tu kat aku, aku terus mengamuk ka, maki hamun depa ka, apa-apa saja biar sampai depa rasa takut nak jumpa aku tau!” terangku kepada Saif.
                Seketika kemudian, pintu depan dewan kuliah yang aku dan Saif sedang berada di dalamnya sekarang dikuak oleh kelibat seorang pensyarah wanita yang berumur dalam lingkungan 30-an. Saat pintu tersebut ditolak dari luar, berlakulah geseran antara kunci pintu tersebut dan lantai yang berada di bawah pintu itu. Dalam waktu itu juga, geseran tersebut secara tidak langsung menukarkan tenaga geseran yang dihasilkan oleh pensyarah itu kepada gelombang longitudinal yang akhirnya diserap oleh anak telinga kami iaitu para pelajar yang sedang berada dalam dewan itu. Lantas gelombang tersebut dapat diterjemahkan oleh otak kami sebagai ‘bunyi’ yang amat nyaring disebabkan oleh frekuensi gelombang tersebut yang agak tinggi. Dengan sepantas yang boleh, kami semua memberi respon ataupun tindak balas dengan menghentikan perbualan kami untuk memberi perhatian kepada pensyarah tersebut. Sama ada kami semua sedar ataupun tidak, pintu yang usang tersebut telah menjadi ‘pemberi amaran’ yang sangat baik jika pensyarah sudah tiba.
                “Saif sudah selesai. Petang ini pula aku akan meminta Syam melakukan perkara yang sama sepertimana yang aku pinta kepada Saif. Jika dia setuju, dan aku pasti yang dia memang akan setuju. Kalau tidak, aku akan pastikan yang dia setuju walau dengan cara apa sekalipun. Aku tidak akan membiarkan mereka yang bertanggung jawab, bersenang lenang dengan apa yang telah mereka lakukan.”  Monolog aku bersendirian dalam hati setelah puan Nur Naim, pensyarah fizik kami memulakan syarahannya.



Sabtu, 21 Febuari 2009
9.34 malam.

“Is, tadi ada mesej masuk dalam telefon hang.” Kata Wan setibanya aku di bilik. Tanganku yang masih lagi kebasahan kerana baru sahaja ke tandas sebentar tadi cepat-cepat aku lapkan dengan tualaku yang tersedia tersidai di tempatnya. Suhu malam ini yang agak rendah telah membuatkan diriku beberapa kali berulang-alik ke tandas untuk membebaskan urin dan beberapa bahan toksin yang lain dalam bentuk cecair.  Malumlah, sekarang ini aku masih lagi dapat mendengar bunyi detap setiap titis-titis hujan yang sedang turun dengan lebatnya dikawasan kolejku ini. Kesejukan angin malam dan ditambah pula dengan kedinginan bayu yang bertiup ketika hujan sedang turun telah membuatkan suhu di sini benar-benar jatuh menjunam.
Nampaknya haba di sekitar kawasan kolej telah banyak diserap oleh titisan-titisan hujan yang terkondensasi oleh awan komulunimbus, awan yang membawa hujan lebat dengan keizinan Penciptanya. Hujan yang merupakan sebuah rahmat dari Tuhan sekelian alam sememangnya sebuah mesin penyedut haba yang sangat efisyen disebabkan oleh specific heat capacitynya yang tinggi iaitu 4.18 kJ/kg/°C . ini bermakna 1 kilogram air memerlukan sebanyak 4180 joule tenaga hanya untuk meningkatkan suhunya sebanyak 1 °C. Kadar pengaliran haba pula berkadar terus dengan perbezaan antara suhu kedua-dua bahan tersebut. Oleh yang demikian, walaupun telah banyak haba yang diserap oleh titisan hujan, suhu setiap titisan itu hanya meningkat dengan jumlah yang sedikit sahaja dan ini bermakna perbezaan suhu antara mereka masih lagi tinggi. Hal yang demikian telah membuatkan kadar penyerapan haba oleh titisan hujan masih lagi tinggi dan natijahnya, suhu di kawasan tersebut pun akan turun dengan cepat.
Betapa indahnya ciptaan Allah. Setiap apa yang berlaku tetap mempunyai hikmahnya yang tersendiri.
“Dari siapa.” Soalku kepada Wan ketika aku masih lagi mengeringkan tanganku di kain tuala.
“Entah. Dari cikgu hang kot.” Jawab Wan dengan nada yang entah yakin ataupun tidak.
“Cikgu?” Soalku dalam hati. Entah cikgu mana pula yang hantar mesej malam-malam sebegini? Dengan semangat inkuiri yang membuak-buak dalam hatiku, lantas aku mencapai telefon bimbitku yang tersedia menanti di atas meja.
Saat aku memandang ke arah skrin, terpampang ayat ‘mesej from cikgu Aiyah’. “Ceh, rupa-rupanya ‘cikgu’ ini yang Wan maksudkan!” aku tergelak sendirian. Salahku juga. Tak pasal-pasal Wan tersalah anggap. Tapi, aku rasa lebih baik begini daripada dia mengetahui perkara yang sebenar. Kalau tidak, nanti bertambah teruk pula kes fitnah ini.
[salam. Btoi ka is dok mrh kt Haida ngan Ila? Jgn r cm 2... diorg main2 je....]. Tertera di skrin telefon bimbitku setelah aku menekan punat ‘read’. Beberapa ketika kemudian, aku mula menaip untuk membalas.
[mna Aiyah tw...]
[ila  yg gtw.... dia kta y is mrh gla kt diorg. Jgn r g2... ksian kt diorg... diorg main2 je r... ]. Balas Aiyah.
Tika ini, hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa gembiranya hati aku. Mana kan tidak, rancangan yang telah aku bina selama ini telah membuahkan hasil. Nampaknya, Ila dan Haida sudah betul-betul masuk dalam perangkap aku.
[sbnrnya, is x mrh kt diorg pun... is sj wt2 mrh kt diorg n sruh saif ngan syam gtw kt ila ngan haida y is btul2 mrh kt diorg. sj nk bg diorg kcut perut skit... biar pdm mka diorg..sapa sruh diorg wt cter psai kte... he3... J ]. Balasku.
[Owh...hak3…baguis la klu cm 2.. aishah d phak is lh. Tp klu btol cita 2 pown apa slhnya.. hee… k, daa...]
Ah, sempat pula dia bergurau!










-Pha is
USM Pulau Pinang
18 November 2009 / 30 Dzulqaedah 1430
3.00 pm





Post a Comment

5 Comments

  1. ish3...pnjgnya...bg r sinopsis sket..(mleh nk bca)
    hehehe....



    p.s. sjak bla hg blogging???

    ReplyDelete
  2. sejak abes exam bila boring tak tau nk bua apa kat usm...

    ReplyDelete
  3. hehehe.. thanks sbb sudi baca...

    ReplyDelete
  4. Kisah benar kah ini?? Menarik.. boleh diolah menjadi novel..
    Gaya penceritaan dah ada.. Tinggal nak kembangkan je.. hehehe

    ReplyDelete
Emoji
(y)
:)
:(
hihi
:-)
:D
=D
:-d
;(
;-(
@-)
:P
:o
:>)
(o)
:p
(p)
:-s
(m)
8-)
:-t
:-b
b-(
:-#
=p~
x-)
(k)